Tuesday, August 4, 2009

Thursday, May 14, 2009

Kenangan Yang Tak Boleh Dibeli

Bina Insan Guru membawa 1000 kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan. Hanya guru sahaja yang dapat merasainya. Marilah sama-sama memilih profesion perguruan dalam hidup. " Guru Pembina Negara Bangsa".

















BINA INSAN GURU (BIG) KPLI 2009

Pada 5-8 Mei 2009, pelatih IPGM Kampus P.Pinang yang terdiri daripada pelajar LIPEM, LIPJ dan LIPC, telah menghadiri program Bina Insan Guru (BIG) yang telah diadakan di Beringin Beach Resort selama 3 malam 4 hari. Kami bertolak dari IPGM Kampus Pulau Pinang pada jam 8. pagi dan berhenti bersarapan pagi di Hentian Gurun. Kemudian meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Kami menaiki feri ke Pulau Langkawi pada pukul 1.00 tengah hari. Setibanya di jeti Kuah, kami terus menaiki bas ke Beringin Beach Resort. Selepas mendirikan khemah kami menjalankan aktiviti LDK. Kami telah diagahkan kepada 7 kumpulan mengikut kelas yang berbeza. Pada malamnya kami menjalankan aktiviti soal kenal dan aktiviti lain. Dalam aktiviti soal kenal, saya boleh mengenali rakan saya, asal usul dan banyak lagi. Begitu juga dalam aktiviti penyusunan mengikut kelahiran. Di sini barulah saya dapat perhatikan siapakah yang lebih senior dan junior.

Pada hari kedua, kami menjalankan aktiviti kembara. Setiap kumpulan perlu menghantar 2 orang wakil untuk mendaki bukit untuk mencari kertas yang menyatakan check point yang seterusnya. Kumpulan 4 diwakili oleh saya AHF dan Nasir. Kami mencari kertas tersebut berdasarkan pandu arah dari kompas yang disediakan. Setelah berjaya mencari kertas tersebut, barulah kesemua ahli kumpulan boleh meneruskan perjalanan berikutnya. Walau pun kumpulan kami antara kumpulan yang terakhir memulakan perjalanan, tetapi atas dasar ketabahan dan cekal, kami boleh memotong beberapa kumpulan yang berada dihadapan kami dengan selamat. Perjalanan kami menyusuri jalan raya menuju ke Dataran Helang. Di dataran tersebut, kami perlu mencari check point yang berikutnya dan menjawab soalan dan teka teki yang diajukan. Selesai menjawab soalan, kami menuju ke destinasi seterunya iaitu menuju ke hutan. Sebelum memasuki hutan, kami perlu memasak makanan yang telah dibekalkan. Kami memasak nasi, sardin dan telur rebus. Walaupun keadaan cuaca yang hujan, dengan kreativiti yang ada, kami dapat menyiapkan masakkan. Komando bertugas telah merasa masakkan dan setelah disahkan baik kami dibenarkan untuk masuk ke dalam gua yang dikenali sebagai Gua Landak. Kami memakan makanan bersama-sama ahli kumpulan. Semasa di dalam gua, kami juga perlu mencari check point untuk meneruskan perjalannan berikutnya. Aktiviti dalam gua memberikan peluang untuk bersatu padu dan behati-hati dalam keadaan gelam untuk mencari araha berikutnya. Sikap berani dan berkeyakinan yang ada dalam diri masing-masing membolehkan kami berjaya. Kami meneruskan perjalanan seterusnya setelah melaporkan diri kepada komando yang bertugas. Kami menyusuri hutan sehingga tiba di laluan jalan raya. Kami meneruska perjalanan hingga ke tapak khemah. Setelah selesai mandi, kami solah zohor berjemaah. Manakala kumpulan yang bertanggungjawab untuk memasak menjalankan tugas berikut. Pada malamnya, kami membuat persembahan kumpulan. Saya dari kumpulan 4 telah mencipta logo dan lagu kumpulan. Kami menamakan kumpulan kami sebagai C’FU yang bermaksud guru.

Hari ke 3 merupakan hari yang amat bermakna dalam hidup saya. Setelah selesai solat subuh dan tazkirah, kami mendengar taklimat mengenai aktiviti air yang akan dijalankan pada hari ini. Pada pukul 9.30 pagi, kami menaiki bot laju menuju ke Pulau Beras Basah. Perjalanan yang agak lama dan mencabar ini, memberi seribu kenangan dalam diri saya. Ini adalah pengalaman pertama saya menaiki bot laju. Selama ini saya sangkakan jika saya menaiki bot, pasti saya akan mabuk laut dan muntah-muntah. Namun begitu, pandangan saya meleset. Saya juga dapat melihat keindahan alam lautan serta pulau-pulau yang indah sepanjang perjalanan. Setibanya di Pulau Beras Basah, kami menjalankan aktiviti memanaskan badan untuk aktiviti water confidence. Selepas itu, kami dibahagikan kepada 3 kumpulan. Setiap kumpulam perlu mengikuti pensyarah masing-masing. Semasa di dalam laut, kami belajar cara mengapung, berenang, penafasan dalam air, menyelamat kawan dan sebaginya. Saya berasa amat bangga kerana dapat ,mempelajari teknik baru mengenai renang. Setelah selesai berenang, kami menuju pula ke satu lagi aktiviti yang amat menyeronokkan iaitu melihat helang menyambar makanan dipermukaan lautan. Kami memberikan helang tersebut dengan menabur kulit ayam di permukaan air. Beberapa minit selepas itu, kami dapat lihat banyak burung helang dari pelbagai jenis menyambar makanan. Ini adalah pengalaman yang baru dan bermakna dalam hidup saya. Setelah selesai, kami meneruskan perjalanan kami. Semasa dalam perjalanan pulang, kali diperkenalkan tentang pulau yang terdapat di sekitar. Antaranya adalah Pulau Singa, Pulau Dayang Bunting, Pulau Tuba dan banyak lagi. Ini sedikit sebanyak menambahkan lagi ilmu geografi saya tentang pulau-pulau yang terdapat di Langkawi. Setibanya di pantai Beringin, kami di berikan pula penerangan mengenai aktiviti air seterusnya iaitu rakit. Setiap kumpulan perlu menyiapkan rakit dengan keadaan kemas dan selamat. Kami diberikan 6 buah tayar dan 5 batang paip PVC beserta tali. Kumpulan yang siap dahulu boleh berlayar. Kumpulan kami merupakan kumpulan yang terawal menyiapkan rakit dan belayar dan yang paling cepat tiba di garisan penamat. Kumpulan kami iaitu kumpulan 4 menjadi johan dalam acara rakit pada kali ini. Saya berasa bangga atas kejayaan ini. Saya dapat rasakan, jika kita bersatu padu perkara yang susah pun akan menjadi senang. Walaupun dalam keadaan letih dan terpaksa mengharungi arus ombak, tetapi sikap tabah yang diserapkan oleh para pensyarah IPGM Kampus Pulau Pinang kepada kami dapat digunakan dengan baik. Setelah selesai, kami menyimpan semula peralatan yang digunakan. Kami terus mandi dan solat. Kumpulan yang bertugas untuk memasak, meneruskan tugasan memasak. Pada malamnya, kami mengadakan malam kebudayaan. Setiap kumpulan perlu mengadakan persembahan. Ada yang membuat persembahan nyanyian, sketsa dan banyak lagi. Kumpulan kami telah membuat persembahan nyanyian dengan menyanyiakan 3 buah lagu. Selepas itu para pensyarah pula membuat persembahan karaoke. Akhir sekali diadakan majlis penyampaian hadiah kepada peserta dan para pemenang. Kumpulan C’FU memperolehi tempat pertama dalam pertandingan rakit dan kedua dalam aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) mencipta logo dan lagu kumpulan. Hasil bertungkus-lumus tanpa mengira jemu ini membuahkan hasil yang amat berguna dalam hidup.

Pada hari ke 4, sekitar jam 9.00 pagi, setelah selesai mengemas, kami bertolak untuk membeli belah. Selesai membeli belah, kami berkumpul di jeti Kuah. Pada jam 12.30 tengah hari, kami bertolak pulang ke jeti Kuala Perlis. Setibanya di jeti Kuala Perlis, pelatih terus menaiki bas untuk pulang ke IPGM Kampus Pulau Pinang dengan selamat. Saya, Hasni, Ashraf dan Halam terus tinggal di bumi Perlis Indera Kayangan. Sebagai anak jati kelahiran bumi Indera Kayangan, saya pulang ke rumah berjuma Ibu dan Bapa serta keluarga. Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T, kerana segala perancangan berjalan dengan baik. Saya begitu berharap supaya, program ini dapat diteruskan seperti biasa. Saya juga rasakan program ini perlu diserapkan kepada pelajar sekolah agar mereka memperolehi pengalaman baru dalam hidup mereka.

Kenangan terindah bersama pelajar LIPEM

Wednesday, May 13, 2009

PERLIS INDERA KAYANGAN


"Negeri Permai Lagi Mempesona" ungkapan yang paling tepat untuk mengambarkan keindahan dan kedamaian negeri Perlis. Berbekalkan Landskapnya yang menghijau dan permai, menawarkan sesuatu yang menarik buat pencinta kedamaian alam.


Tujuh Pesona Perlis

1. Panorama

Ladang Tebu

Chuping dikenali sebagai tapak pertumbuhan industri yang pertama di negeri Perlis. Terdapat kilang besar yang beroperasi di sekitar kawasan ini iaitu kilang simen dan kilang gula. Luas ladang tebu adalah 8062 hektar. Kehijauan pokok tebu menghasilkan panorama kehijauan yang menarik.


Sawah Padi


Kesuburan dan kehijauan sawah padi merupakan satu keunikan dan kecantikan kepada pelawat. Suasana lebih menarik pada musim menuai padi pada bulan Januari dan September, dimana sawah padi menjadi kuning kemasan.
Hutan Simpanan
Hutan simpanan Mata Ayer di Wang Kelian, Wang Tangga dan hutan simpanan Wang Mu seluas lebih 5,000 hektar mempunyai pelbagai flora dan fauna yang unik serta ciri geologi yang menarik.

Empangan Timah Tasoh










Empangan Timah Tasoh dibina pada tahun 1992. Empangan setinggi 17 meter boleh mengisi muatan air sebanyak 33.3 juta meter persegi. Suasana yang tenang serta keindahan alam semulajadi di sekitar empangan elok di kunjungi terutamanya diwaktu petang.

2. Taman Ular

Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat terletak di kawasan berbukit batu kapur. Taman Ular dan Reptilia Perlis merupakan satu – satunya taman ular seumpamanya di Malaysia. Di sinilah terdapatnya pelbagai spesis ular yang boleh di lihat di ruang pameran tertutup mahupun di ruang terbuka, ia memberi peluang kepada pengunjungnya untuk mendekati haiwan eksotik ini dengan lebih dekat dalam suasana yang hampir sama dengan habitat asalnya.

3. Harumanis

Harumanis merupakan buah "trade mark" bagi negeri Perlis. Isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang enak dimakan bersama pulut sebagai salah satu sajian tradisi di negeri Perlis. Ia juga enak dimakan begitu sahaja ataupun diproses dalam bentuk jus atau jem.
Kawasan pertanian di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat merupakan kawasan pengeluar utama mempelam jenis ini di Malaysia. Keluasan penanaman mempelam adalah 1,000 ekar dan hasil pengeluaran tahunan adalah antara 300 hingga 500 tan. Pusat ini juga merupakan pusat jualan mempelam harumanis. Musim mempelam adalah pada bulan April dan Mei pada setiap tahun.

4. Makanan dan makanan laut

Makanan Ikan Darat
Ikan-ikan darat seperti puyu, keli, sepat dan haruan boleh diperolehi di kawasan sawah padi di sekitar negeri Perlis. Malah menjadi makanan kegemaran rakyat Perlis dengan masakan ikan darat seperti pekasam, asam pedas, keli masak cili, sepat kering dan masakan lemak. Terdapat sebuah gerai yang menghidang masakan tersebut, di Mata Ayer yang di kenali gerai "Pokok Sawa".


Laksa Kuala Perlis
Laksa sememangnya sinonim dengan negeri Perlis. Kuah ikan yang dinikmati bersama laksa yang diperbuat daripada tepung beras pasti membuka selera. Laksa Kuala Perlis terkenal dengan kenakannya.





Pulut

Perlis juga popular dengan sajian pulutnya. Salah satu makanan kegemaran di Perlis ialah pulut ayam. Makanan ini merupakan masakan Thai yang popular dikalangan orang tempatan dan pelancong-pelancong. Ayam digoreng dan disajikan dengan pulut bersama sos dan daun bawang goreng. Selain ayam, pulut juga disajikan bersama mempelam, durian, cempedak dan ikan kering.

Makanan Laut
Bagi penggemar makanan laut, Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru menjadi tumpuan. Kuala Perlis terkenal dengan ikan bakar, ketam dan sotong dalam pelbagai masakan pada harga yang berpatutan.

5. Tarikan sempadan

PADANG BESAR
Suka berbelanja!! Inilah tempat sepatutnya anda pergi. Terletak 35 km dari Kangar, bersempadan dengan negara Thailand, Padang Besar merupakan pekan sempadan yang menawarkan pelbagai variasi produk seperti pewangi, jam tangan, barang elektrik, pakaian, buah-buahan dan lain-lain lagi. Kebanyakan berjenama dan bermutu tinggi. Barangan ini dijual pada kadar yang amat berpatutan. Selain itu, pekan ini juga terkenal dengan barangan tiruannya. Oleh itu, anda perlu berwaspada ketika membeli.
Waktu urusan bagi urusan keluar masuk sempadan ialah dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.30 malam bagi pintu padang besar.


PASAR AHAD WANG KELIAN
Selain Padang Besar, Wang Kelian adalah tarikan membeli belah terbaru di sempadan negeri ini. Pekan kecil yang terletak bersempadan dengan Wang Prachan, Thailand yang sememangnya terkenal dengan pasar seharinya yang diadakan setiap pagi Ahad setiap minggu dimana pengunjung boleh ke Thailand tanpa perlu menggunakan pasport atau pas sempadan dalam lingkungan 2 km dari pintu sempadan.
Pelbagai keluaran/produk ditawarkan oleh para peniaga antaranya produk pertanian, makanan, pakaian, barangan dapur, barangan plastik serta buah-buahan segar dari kedua-dua negara dengan harga yang sukar ditandingi ditempat lain.
Waktu urusan bagi urusan keluar masuk pintu sempadan Wang Kelian ialah dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.
Disamping itu, disini terdapat taman negeri yang dikenali Taman Negeri Wang Kelian. Kawasan ini kaya dengan khazanah semulajadinya. Di sini juga mempunyai trek hutan ke Gua Wang Burma.

Tembok Sempadan
Tembok sempadan yang besar dan panjang iaitu 17.33 km memisahkan Malaysia dan Thailand. Tembok ini di bina pada tahun 1994 dan siap sepenuhnya pada April 1997. Tarikan utama yang terdapat disini ialah bukit Khuan Chuk (Bukit Kencana) yang merupakan puncak tertinggi di sempadan, di sini anda akan menikmati panorama yang indah mencakupi hampir seluruh kawasan Ladang Tebu, Padang Besar dan Empangan Timah Tasoh. Kawasan ini sesuai dengan aktiviti riadah untuk pencinta alam semulajadi.

6. Mengintip burung


Dengan suasana yang aman, kawasan-kawasan sekitar Taman Negeri dan Empangan Timah Tasoh menjadi pilihan pelbagai spesis burung sebagai habitat atau destinasi persinggahan sementara.
Masa yang paling sesuai untuk melihat burung adalah musim penghijrahan diantara bulan September hingga April pada waktu pagi dan waktu senja. Kebanyakan burung yang terbang jauh dari Asia Tengah seperti dari Rusia, China dan Siberia. Lebih dari 143 spesis burung telah dikenalpasti oleh WWF semasa mengunjungi empangan Timah Tasoh.

7. Pengembaraan hutan

Perlis sememangnya kaya dengan sumber hutannya yang masih terpelihara. Hutan – hutan simpan negeri dan Taman Negeri Perlis di Wang Kelian sememangnya sesuai untuk tujuan pengembaraan.
Kawasan sekitar Gua Kelam telah di kenal pasti sebagai kawasan yang sering menjadi tumpuan aktiviti kembara. Kewujudan tapak perkemahan di sini membolehkan lebih banyak aktiviti kembara di lakukan terutamanya yang melibatkan para pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Selain itu, kawasan seperti Tasik Meranti di Lembah Wang Tangga merupakan antara kawasan yang menarik dan sesuai untuk tujuan pengembaraan seperti "jungle trekking", berkayak, ekspedisi pengembaraan kenderaan pacuan 4 roda dan sebagainya.

Penjelajahan Gua
Kegiatan menjelajah gua adalah satu tarikan utama di Taman Negeri Perlis. Penjelajahan gua dengan diiringi oleh pemandu pelawat boleh disediakan untuk memberi peluang kepada pelawat-pelawat melihat topografi kars dan ciri-ciri pembentukan gua. Peninggalan aktiviti perlombongan merupakan aspek menarik yang boleh dilihat.

"Jungle Trekking"
Diantara trek yang paling menarik adalah dari Tasik Meranti ke Bukit Pelarit yang jaraknya 3 kilometer. Sepanjang perjalanan anda melalui trek ini anda akan mendapati suasana nyaman dan segar dan menajubkan, dikelilingi hutan rimba dan latar suara penghuni hutan.
Trek kedua adalah dari kem site(wang kelian, Taman Negeri) ke kemuncak 8C yang jaraknya 6 kilometer. 8C merupakan sempadan Malaysia/Thailand dimana letaknya batu sempadan.
Trek ketiga adalah di Gua Kelam. Jauh trek ini adalah 2 kilometer. Ia bermula dari pintu gua dan melalui anak tangga menyeberangi bukit hingga ke keseberang.

Agro dan Eko Pelancongan
Berbekalkan cuaca yang beriklim monsun tropika serta kesesuaian landskapnya yang masih mengekalkan kehijauan alam, Perlis mempunyai aset untuk dimajukan dengan produk agro dan eko pelancongan.

Agro Pelancongan
Antara tempat-tempat menarik untuk pelancongan berbentuk pertanian di negeri Perlis adalah:
· Pusat Pertanian Bukit Temiang
· Pusat Pertanian Bukit Bintang


Eko Pelancongan
Kehijauan Taman Negeri yang menjalar sepanjang banjaran Nakawan, pengwartaan Taman Negeri di Wang Kelian yang mengandungi hutan simpan Mata Ayer, Wang Tangga dan Hutan Simpan Wang Mu yang bersempadan Taman Negara Thaliban di Thailand di samping kewujudan hutan lipur seperti Hutan Lipur Bukit Ayer, Hutan Lipur Bintang dan Hutan Lipur Bukit Kubu memberikan pemandangan yang indah dan mempersonakan. Bagi mereka yang mengemari aktiviti lasak seperti "jungle trekking" dan berkayak, kawasan ini sesuai untuk tujuan ini.

PAKAT-PAKAT MAI PERLIHH..